KUALA LUMPUR, 9 September- Sekumpulan 30 doktor dan 120 staf SP Care Group memberi fokus kepada kebajikan dan kesihatan masyarakat Orang Asli yang terjejas pendapatan akibat pandemik Covid19.

Menurut pengasas kumpulan klinik SP Care, Dr Sathia Prakash Nadarajan terdapat 180 perkampungan Orang Asli di sekitar Rawang dan Hulu Selangor.

“Sehingga kini, kami sudah memberi bantuan kepada lebih 500 penduduk di lima perkampungan Orang Asli.

“Ia merangkumi Kampung Orang Asli (OA) Serendah, Kampung OA Bukit Manchong, Kampung OA Batang Kali, Kampung OA Gerachi Jaya dan Kampung OA Peretak,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Katanya, pada awal Julai lalu kumpulan itu melancarkan bank makanan 24 jam bagi menyediakan barangan makanan dan keperluan asas kepada penduduk di sekitar Rawang Mutiara.

“Usaha ini merupakan projek komuniti bagi membantu golongan yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

“Selain bank makanan, pihak kami turut menyediakan bantuan bakul makanan di tiga cawangan klinik lain. Namun ketika itu, kami mendapati penduduk biasa (bukan OA) yang hadir untuk mendapatkan bantuan,”katanya.

Disebabkan itu, katanya, kumpulan SP Care memulakan usaha untuk membuat bancian dan keperluan Orang Asli di 18 kampung sekitar Rawang dan Hulu Selangor.

“Projek perintis kami adalah kem perubatan di Kampung OA Serendah pada awal Ogos lalu dan ia diteruskan dengan kampung-kampung seterusnya,

“Yang terkini, kami mengagihkan bakul makanan kepada 92 keluarga di Kampung OA Gerachi Jaya di Hulu Selangor dan dijangka lima lagi kampung OA akan menerima bantuan masing-masing dalam minggu depan,” katanya.

Antara makanan asas yang disediakan oleh kumpulan itu adalah beras, minyak masak, sardin, susu tepung bayi, telur, gula, garam, kicap, kaya, mi segera, bihun, susu tin, milo dan biskut kering.

Keperluan asas seperti sabun mandi, sabun basuh, ubat gigi dan berus gigi turut disediakan.

“Kepada sesiapa yang memerlukan bantuan bakul makanan, kami juga menyediakan talian hotline dan bantuan akan dihantar ke rumah mereka,” katanya.

Dr Sathia berkata, Orang Asli menjadi fokus kumpulan itu berikutan golongan itu tidak mempunyai pendapatan tetap dan pendapatan mereka terjejas teruk sejak pandemik.

“Kebanyakan mereka bekerja sebagai pekerja pembersihan di hotel dan restoran dan mereka tidak dapat bekerja, pendapatan mereka terjejas teruk.

“OA ini juga bukan golongan yang pandai meminta atau mengambil bantuan daripada bank makanan dengan sendiri disebabkan itu kami turun mengagihkan bantuan di kampung mereka sendiri,” katanya.

Selain Orang Asli, kata Dr Sathia, lebih 3,000 bakul makanan bernilai lebih RM200,000 sudah diagihkan kepada masyarakat yang terjejas di sekitar Rawang, Hulu Selangor, Batang Kali dan juga di Ampang.

Dr Sathia berkata SP Care amat prihatin dan fokus dalam mendepani permasalahan dihadapi oleh masyarakat di kawasan pedalaman terutamanya yang tidak mempunyai akses kepada telefon atau telekomunikasi.

“Golongan seperti inilah kita cari dan sampaikan bantuan. Kita juga sediakan bantuan perubatan kepada yang benar-benar perlu. Setakat ini, kita sudah dekati ramai golongan sasaran tanpa kira kaum, latar belakang.

“Pada kami, mereka adalah sebahagian daripada kita dan kita harus bantu. Dari golongan asnaf, mualaf, kuil, tokong, masjid, surau, Orang Asli serta lain-lain semuanya kami hulur bantuan,” katanya. – (Kalidevi WDMY)