SERDANG, 25 SEPT – TEMBAK….  Polis menembak mati seorang lelaki dipercayai anggota sindiket penyeludupan migran di Jalan Bandar 10 Puchong malam tadi.

Dalam kejadian itu kira-kira jam 7.30 malam, suspek seorang lelaki tempatan memandu PERODUA Alza bersama lapan pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar sebelum ditahan sepasukan anggota polis di lokasi.

Suspek dikatakan cuba merempuh anggota polis yang cuba menahannya menyebabkan anggota polis terbabit terpaksa melepaskan dua das tembakan mengenainya.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, yang dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan satu das tembakan yang dilepaskan polis turut mencederakan seorang PATI dalam kenderaan terbabit.

“Suspek dipercayai sedang membawa beberapa orang PATI dalam kenderaan dipandunya dan cuba merempuh pegawai polis yang cuba menahannya.

“Polis melepaskan dua das tembakan ke arah kenderaan berkenaan menyebabkan pemandu terbabit mati di tempat kejadian dan seorang penumpang cedera.

“Ini adalah kes penyeludupan migran,” katanya sambil menambah semua lapan PATI dalam kenderaan terbabit ditangkap termasuk yang cedera.

Sementara itu, semakan mendapati kenderaan terbabit didaftarkan atas nama seorang wanita beralamat di Gombak namun siasatan lanjut berhubung perkara itu sedang dijalankan. – WD MY