KAJANG,OGOS 24:BERGEGAR… Hari keenam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Balakong semakin hangat apabila kedua-dua parti mengadakan ceramah serentak di tempat berhampiran di Pasar Malam Perimbun, Taman Megah di sini, malam tadi.

Ceramah Pakatan Harapan (PH) diadakan berdekatan tempat letak kereta di Restoran Fu Hai, kira-kira 100 meter dari lokasi ceramah MCA yang berlangsung dari atas kenderaan pacuan empat yang ditukar menjadi pentas tidak jauh dari pasar malam di tepi jalan utama Taman Megah.

Kedua-dua calon, Wong Siew Ki dan Tan Tee Keong, turut ke pasar malam beramah mesra dengan pengundi di kawasan itu.

Menariknya, kedua-duanya bertembung dan bersalaman. Aksi spontan kedua-dua calon itu dirakamkan jurugambar dan orang ramai serta penyokong parti masing-masing.

Jumlah penyokong kedua-dua parti bertambah ramai menjelang jam 8.30 malam apabila beberapa penceramah jemputan semakin rancak berceramah di pentas masing-masing.

Sesekali suara penceramah di pentas calon MCA menenggelamkan suara penceramah di pentas calon PH dan begitulah sebaliknya.

Turut hadir sebagai penceramah di pentas calon PH adalah Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong dan Exco Kerajaan Selangor, V S Ganapathi Rao, manakala MCA menampilkan Timbalan Presidennya, Datuk Seri Wee Ka Siong dan Naib Presiden MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun.-MY WD