PUTRAJAYA, 13 April – MENANG….. Jentera Barisan Nasional (BN) akan tetap bekerja keras untuk meraih kemenangan yang lebih besar pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) walaupun terdapat ramalan bahawa parti itu mampu menang selesa, kata Setiausaha Agung BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Beliau berkata sekalipun analisis dilihat berpihak kepada BN namun kempen dan usaha parti itu akan diteruskan seperti biasa terutamanya dalam mendekati dan memberi khidmat kepada rakyat.

Menurut Oxford Economics, berdasarkan manifesto yang memberi fokus usaha menangani kenaikan kos sara hidup yang dijanjikan BN, pihaknya menjangkakan parti itu mampu memperoleh kemenangan selesa pada PRU14 nanti yang dijadualkan pada 9 Mei.

“Itu (Oxford Economics) punya analisa, kita tetap kena bekerja kuat. Tidak boleh alpa,” katanya kepada media selepas merasmikan pengoperasian Stesen Shell Presint 18 yang dibina atas tanah milikan Koperasi Profesional Putrajaya Berhad (Koprojaya) semalam.

Sebagai parti yang mementingkan kebajikan rakyat, Tengku Adnan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan yakin rakyat akan memberi sokongan kepada BN.

 

“Kami telah mencapai dan merealisasikan 99.4 peratus daripada Aku Janji PRU13 sebelum ini dan apabila Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan manifesto untuk PRU14, kita dapat lihat ia adalah manifesto untuk semua,” katanya.

Mengenai manifesto BN untuk Wilayah Persekutuan, Tengku Adnan berkata ia akan dilancarkan pada hari yang sama ketika penamaan calon diumumkan. – WD MY