PUTRAJAYA, 29 April – SPR……. Pihak Pembangkang hanya tahu menyalahkan pihak lain jika berdepan masalah, walaupun kesalahan itu berpunca daripada ahli dan parti mereka sendiri.

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, berkata tindakan PKR menyalahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) apabila ada calonnya tidak layak bertanding bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), semalam adalah sesuatu yang tidak wajar, sedangkan badan itu hanya mengikut undang-undang.

Beliau yang juga calon BN kerusi Parlimen Putrajaya berkata, terbaharu pembangkang cuba mencari isu teknikal untuk menafikan kelayakan beliau bertanding pada PRU kali ini.

“Mereka ini akan mencari kaedah menyalahkan orang lain bila tahu nak kalah. Saya pun pening dengan apa yang mereka nak lakukan.

“Tolonglah, negara ini ada undang-undang. Jangan salahkan SPR kerana mereka hanya menjalankan tanggungjawab dengan baik.

“Kalau ada masalah dalam parti kamu, selesaikan,” katanya kepada media selepas menyempurnakan majlis pecah tanah tempat letak kereta bertingkat Presint 9, hari ini.

Pada hari penamaan calon semalam, dua calon PKR tidak dapat bertanding pada PRU-14 iaitu Naib Presiden PKR, Tian Chua di Parlimen Batu berikutan sabitan satu kes mahkamah pada 2013, manakala Dr S Streram di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau kerana gagal menghantar borang penamaan calon, difahamkan kerana tidak mempunyai pas calon.

Sementara itu, Tengku Adnan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan, berkata tempat letak kereta bertingkat yang dijangka siap dalam tempoh dua tahun itu akan menyediakan 352 unit bagi penghuni kuarters Pangsapuri Fasa 5 dan 6, Presint 9.

“Dengan keluasan 3,400 meter persegi, tempat letak kereta empat tingkat ini akan turut menyediakan unit bagi orang kurang upaya (OKU).

“Lantikan kontraktor akan dibuat pada Julai ini dan kos keseluruhan projek berjumlah RM15 juta di bawah peruntukan Rancangan Malaysia Ke-11,” katanya. – WD MY