Terus Fokus Kepada Pembangunan Teknologi Hijau Melalui Bajet 2017

0
902

LANGKAWI, 15 Okt – Fokus Pembangunan Hijau…. Pihak Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KETTHA) akan terus memberi fokus utama kepada soal pembangunan teknologi hijau melalui Bajet 2017 yang bakal dibentangkan Jumaat ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, berkata di peringkat global amalan itu sudah mencapai tahap melebihi komponen sedia ada, namun di Malaysia masih terdapat beberapa komponen yang perlu diberi perhatian.

“Kita perlu fokus perkara ini kerana teknologi hijau boleh mendidik masyarakat untuk menghayati dan menghargai alam sekitar, sekali gus mengubah cara hidup yang lebih lestari, bersih dan berdaya saing.

“Ini seiring hasrat Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang mahukan teknologi hijau menjadi pemacu dalam menggalakkan pertumbuhan ekonomi negara,” katanya selepas merasmikan Karnival Yayasan Hijau Malaysia (YaHijau) 2016 hari ini.

Pada majlis itu, beliau turut melancarkan Agenda Hijau Kedah yang mempunyai 14 pelan strategi yang bakal dilaksanakan kerajaan negeri dalam tempoh terdekat, selain menyampaikan sijil pelantikan Program Pengauditan Hijau kepada 28 sekolah sekitar Langkawi.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi dan Sumber Manusia Kedah, Datuk Norsabrina Mohd Noor; Ahli Parlimen Langkawi, Datuk Nawawi Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif YaHijau, Amin Abdullah. – WD MY