KUALA LUMPUR, 20 Nov – TIDAK CAMPUR TANGAN…… Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menafikan beliau campur tangan dalam keputusan berhubung pendaftaran gabungan Pakatan Harapan (PH) yang sehingga kini masih gagal didaftarkan.

Beliau yang juga merupakan Menteri Dalam Negeri berkata, segala keputusan yang dibuat tertakluk kepada Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS), dan tiada kena mengena dengan dirinya walaupun jabatan itu berada di bawah kementeriannya.

“Biar pun ROS dibawah KDN tetapi saya tidak meletakkan tangan saya dalam mereka membuat cadangan untuk menerima atau sebaliknya terhadap permohonan Pakatan Harapan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Membanteras Gejala Dadah (JKMD).

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kelewatan pendaftaran PH yang didakwa disebabkan masalah yang timbul dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan DAP.

Tambah Ahmad Zahid, pihaknya tiada masalah untuk bertemu walaupun perjumpaan itu dilakukan oleh Jawatankuasa Penaja PH dan merasakan ROS akan bertindak profesional.

Ahmad Zahid bagaimanapun enggan mengulas mengenai dakwaan kononnya ROS sengaja melewatkan pendaftaran PH menjelang Pilihan Raya Umum ke-14.

PPBM dan DAP perlu menyelesaikan dua isu utama melibatkan perlembagaan kedua-dua parti itu terlebih dahulu.

“PH masih belum menyelesaikan sepenuhnya laporan pemilihan semula CEC DAP. Oleh kerana itu ROS belum menerima laporan akhir dan senarai CEC yang terkini selepas pemilihan semula pada 12 November lalu.

“Di samping itu, perkara kedua adalah masalah PPBM iaitu kegagalan parti berkenaan mengadakan Perhimpunan Agung Tahunan sejak ia diluluskan pendaftarannya. PPBM juga telah memohon pindaan perlembagaan yang masih belum diluluskan,” katanya.

Sebelum ini, Ahmad Zahid telah menyatakan pendaftaran PH dalam pertimbangan ketika di Parlimen, bagaimanapun beliau tidak menjelaskan lebih lanjut mengenai perkara itu. – WD MY