KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein memaklumkan tiga anggota pasukan khas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang menjadi pegawai pengiringnya hanya berkhidmat untuk sementara waktu sahaja.

Hishamuddin berkata, beliau sudah menawarkan mereka untuk bekerja dengannya sekiranya mereka meletak jawatan.

“Mereka cukup rapat dengan saya sekeluarga dan sudah berkhidmat sekian lama. Mereka dengan saya hanya sementara.

“Saya sudah menawarkan kerja tetapi jika mereka terima maka mereka harus berhenti dari Angkatan Tentera Malaysia dengan serta-merta,” katanya dalam satu kenyataan menerusi Twitter.

Menurut laporan Malaysiakini, dua daripada anggota itu adalah daripada Pasukan Khas Laut (PASKAL) yang masing-masing berusia 37 dan 41 tahun dengan tahun akhir berkhidmat pada 2020 dan 2021, manakala pegawai pengiring ketiga adalah seorang komando.

Laporan terbabit yang memetik sumber daripada ATM dan Kementerian Pertahanan memaklumkan tiada banyak maklumat mengenai komando itu, namun anggota terbabit didakwa antara individu di dalam satu gambar dimuat naik Hishammuddin menerusi Twitter, minggu ini.

Difahamkan anggota PASKAL berusia 41 tahun itu dilihat menjadi sebahagian daripada pengiring Hishammuddin dalam gambar bertarikh 30 Jun lalu.

Ketiga-tiga anggota itu dilaporkan berkhidmat dengan Hishammuddin sejak beliau menjadi Menteri Pertahanan pada 2013.

Bagaimanapun, ia sepatutnya tamat selepas beliau tidak lagi memegang portfolio berkenaan berikutan kekalahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri ke-14 (PRU14), Mei lalu.

Sumber ATM juga mendedahkan bahawa ketiga-tiganya kini mendapat dua gaji, iaitu daripada ATM dan Hishammuddin walaupun sepatutnya mereka tidak boleh bekerja dengan sesiapa saja untuk separuh atau sepenuh masa.

Sementara itu, Kementerian Pertahanan akan menjalankan siasatan berhubung dakwaan tiga anggota khas ATM yang masih menjadi pengiring kepada Hishammuddin.

Menterinya, Mohamad Sabu memaklumkan beliau sudah mengarahkan siasatan dilakukan segera terhadap dakwaan itu.

“Saya mengambil maklum laporan sebuah portal berhubung tiga anggota khas ATM yang didakwa sehingga kini masih menjadi pengiring rapat kepada Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

“Sehubungan itu, saya sudah mengarahkan siasatan segera dibuat dan tindakan sewajarnya akan diambil jika terdapat sebarang pelanggaran terhadap amalan dan peraturan sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan menerusi Facebook, semalam.-MY WD