ARAU, MAY 1: TOLAK…Pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Indera Kayangan perlu menolak calon nomad pembangkang yang menjadikan kerusi itu batu loncatan untuk masa depan politik mereka semata-mata.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim, berkata mereka perlu menilai tindakan penyandang kerusi itu, Chan Ming Kai dari PKR meninggalkan DUN berkenaan selepas hanya satu penggal, untuk bertanding di kawasan lain dan digantikan calon yang juga dari luar negeri ini.

Berbeza dengan pembangkang yang melompat dari satu kawasan ke kawasan lain kerana mahu mengekalkan kuasa, katanya, calon BN sentiasa bersama rakyat untuk menyelesaikan permasalahan mereka.

“DUN Indera Kayangan, mana penyandangnya sekarang? Selepas menang, lari ke tempat lain.

“Apa yang dia bawa perubahan di kawasan itu? Dia tinggalkan pengundinya terkontang-kanting,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menemui penduduk di Jelempok, Guar Sanji di sini, malam tadi.

Selain itu, Shahidan berkata, pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sanglang juga perlu menilai secara bijak sama ada masih mahu kerusi itu dipegang PAS.

Sepanjang tempoh lima tahun lalu, beliau berkata, BN yang banyak membantu menyelesaikan permasalahan rakyat di kedua-dua DUN Indera Kayangan dan Sanglang, bukannya pembangkang.

“Hakikatnya, pengundi perlu memilih parti yang kuat dan boleh memerintah. Jika menang satu dua kerusi, mereka tidak boleh membawa perubahan. Justeru, pilihlah parti yang kuat,” katanya.

Mengulas lanjut, Shahidan berkata, jentera BN sudah bekerja keras sejak lima tahun lalu bagi merampas semula kerusi DUN Indera Kayangan dan Sanglang.

“Saya yakin pengundi bijak menilai dan akan kembali memilih BN pada PRU kali ini,” katanya.

Kerusi DUN Indera Kayangan disandang Ming Kai yang berasal dari Perak tetapi berpindah untuk bertanding di kerusi Parlimen Alor Setar, dengan digantikan calon PKR dari Pulau Pinang, Gan Ay Ling, pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

BN menawarkan calon muka baharu, Chuah Tian Hee di DUN Indera Kayangan, dan Che Zaidi Saidin bagi kerusi DUN Sanglang yang disandang Mohd Shukri Ramli daripada PAS.-MY WD