ALOR GAJAH, 16 Feb – MAJLIS…. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menghadiri majlis bacaan Yasin, tahlil dan doa kesyukuran UMNO Bahagian Masjid Tanah di Masjid Salmah Khamis, malam tadi.

Ketibaan Ahmad Zahid pada jam 7.20 malam diiringi Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh dan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Datuk Othman Muhamad.

Ahmad Zahid bersama kira-kira 300 jemaah menunaikan solat Maghrib, yang diimamkan oleh Imam Makkah, Syeikh Mohammad Idris Al Mashrafe, sebelum diteruskan dengan bacaan Yasin, tahlil dan solat Isyak.

Naib Presiden UMNO, yang menjalankan tugas-tugas timbalan presiden parti itu, kemudian menyertai hadirin menikmati hidangan kenduri serta beramah mesra dengan jemaah.

Masjid Salmah Khamis turut dikenali sebagai Masjid Terapung, diwakafkan Ahmad Zahid dan isteri, Datin Seri Hamidah Khamis kepada Baitulmal Melaka tahun lepas. – WD MY