BAGAN DATUK, MEI 2: LAPANGAN….Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sebuah lapangan terbang mini akan dibina di Ladang Jendarata, Hutan Melintang di sini yang akan merancakkan lagi pembangunan di kawasan Parlimen Bagan Datuk.

Timbalan Perdana Menteri berkata, cadangan pembinaan lapangan terbang mini itu tercetus hasil perbincangan beliau dengan sebuah syarikat pelaburan dari Kanada yang berminat untuk membuka dan mengendalikan gudang selenggara dan baik pulih pesawat (MRO) berskala kecil di kawasan itu.

Ahmad Zahid berkata, perbincangan antara beliau dan pihak pelabur sudah dibuat tiga bulan lalu dan pihak berkenaan juga sudah membentangkan kertas kerja.

“Mereka sudah bentang kertas kerja dan mereka lihat Bagan Datuk tidak dikelilingi gunung-ganang atau bukit bukau dan kawasan ini landai. Mereka juga sudah melihat dan tinjau kawasan kita dan kawasan ini sesuai.

“Justeru, mereka meminta supaya kawasan itu dibina landasan yang mesti sesuai untuk jet atau kapal terbang perdagangan,” katanya selepas menghadiri Program Kenduri Pusat Daerah Mengundi (PDM) Zon Jambatan Bersama Badan Bukan Kerajaan (NGO) Melayu di Kampung Banang, Hutan Melintang di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, jika perbincangan itu berjaya, beliau akan memohon Ketua Pengarah Eksekutif United Plantations Berhad (UP Bhd) Datuk Carl Bek-Nielsen untuk membantu memperbesar dan meluaskan lagi lapangan terbang mini sedia ada milik mereka di Ladang Jendarata.

Beliau berkata, bagaimanapun jumlah nilai sebenar pelaburan langsung asing (FDI) yang akan dibawa masih belum diputuskan tetapi beliau menjangkakan nilai yang akan dibawa adalah tinggi.

“Mereka (pelabur) juga sudah mengadakan perbincangan untuk mendapatkan pekerja mahir dalam bidang penerbangan dan saya akan berbincang dengan pihak pengurusan Politeknik Bagan Datuk bagi mewujudkan Fakulti Kejuruteraan Penerbangan kerana politeknik itu kini mempunyai dua fakulti iaitu Kejuruteraan Marin dan Kejuruteraan Automotif.

“Kita mahu tenaga mahir ini dapat digali potensinya dari anak-anak Bagan Datuk dan juga pelajar luar kawasan Bagan Datuk,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, pelabur berkenaan juga akan membuat kajian mendalam terhadap tanah dan kawasan Bagan Datuk terlebih dahulu kerana tanah di kawasan itu lembut dan memerlukan rawatan tanah yang bersesuaian.-MY WD