PEKAN, APRIL 1 : TUMPU… Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak meminta anggota dan pemimpin parti supaya menumpukan sepenuh perhatian terhadap pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata kuasa politik yang ada tidak akan bermakna sekiranya parti kehilangan kuasa untuk memerintah negara.

“Sekarang bukan masa kita mengatur soal pemilihan… perjuangan hanya dapat diteruskan sekiranya kita ada kuasa politik.”

“Pemimpin boleh datang dan pergi, tetapi parti tetap ada, jadi utamakan tanggungjawab sebagai anggota parti kerana parti UMNO dan BN diwariskan kepada kita untuk diperturunkan kepada anak cucu kita dalam keadaan yang lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan jentera pilihan raya BN P085 Parlimen Pekan di Taman Tasik Sultan Abu Bakar di sini hari ini.

Majlis turut dihadiri Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pekan Datuk Seri Abu Bakar Harun, Ketua Wanita UMNO Bahagian Pekan Datuk Zalmah Abdul Rahman dan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pekan Datuk Shahruddin Ahmad.

Lebih 10,000 jentera BN termasuk parti komponen dari semua cawangan di Parlimen Pekan hadir pada majlis pelancaran itu.

Najib juga menyifatkan kehadiran jumlah jentera berkenaan menunjukkan BN tidak tergugat di kawasan itu walaupun dengan kehadiran seorang bekas pemimpin negara yang berusia 93 tahun.

“Cukuplah dengan kekuatan yang diperlihatkan hari ini… kepada sesiapa yang ada cita-cita nak bertanding di Pekan, ini (baru) sebahagian sahaja kekuatan yang kita ada di Pekan.”

“Kita ramai lagi bala tentera, kalau tak percaya pergilah ke merata-rata tempat di Pekan ini mereka tidak yakin kepada orang yang tidak mengambil berat kepada mereka.”

“Mereka tahu siapa yang ambil berat apatah lagi sejak anak Pekan ini berada di Putrajaya, banyak perubahan dan pembangunan telah dilakukan di sini, sebut sahaja insitusi pendidikan, kilang, masjid, semuanya ada,” katanya.

Dalam masa yang sama, Najib sekali lagi turut mengingatkan semua anggota parti supaya terus mengamalkan konsep walaq atau setia kepada pemimpin.

“Saya lihat soal dalaman yang dapat memusnahkan kita bukan orang luar, mereka tidak kuat, jadi kita mesti terus walaq kepada pemimpin… bukan kepada Najib Razak atau individu.”

“Di zaman Rasulullah sendiri, semasa berlaku Perang Badar dan Uhud apabila pemanah tidak patuh dan walaq kepada arahan Nabi Muhammad S.A.W dengan turun daripada bukit, maka orang Islam kalah.”

“Ini peringatan daripada Allah, kalau kita tak walaq maka tidak akan menang walaupun boleh menang,” katanya.-MY WD