PUTRAJAYA, 9 APRIL – BERTEMU…… Perdana Menteri Malaysia Dr Mahathir Mohamad dan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong akan berunding pada permukiman pertama mereka bersempena Permukiman ke-9 Pemimpin-pemimpin Malaysia–Singapura di pusat pentadbiran Malaysia di Putrajaya.

Pada permukiman itu, kedua-dua perdana menteri dijadual mengadakan pertemuan empat mata diikuti satu mesyuarat delegasi, kata Wisma Putra.

“Mereka dijangka membincangkan isu-isu keprihatinan bersama, mengkaji kemajuan kerjasama yang sedia wujud, dan meninjau bidang kerjasama baharu demi faedah bersama,” kata Wisma Putra dalam suatu kenyataan bersempena permukiman itu.

Lee, yang dijadual tiba di Malaysia hari ini, akan diiringi oleh beberapa orang menteri dan pegawai kanan republik itu.

Dr Mahathir dan isteri Dr Siti Hasmah Mohd Ali akan menjadi hos pada jamuan tengah hari untuk delegasi berkenaan.

Dr Mahathir baru-baru ini menyatakan bahawa Malaysia dan Singapura akan membincangkan isu-isu bilateral yang belum selesai dalam suasana persahabatan semasa permukiman itu.

Antara isu itu ialah masalah air, ruang angkasa dan sempadan maritim, kata beliau.

Malaysia dan Singapura merupakan rakan perdagangan kedua terbesar antara satu sama lain dengan jumlah dagangan bernilai AS$59.92 bilion pada 2018.

Kedua-dua negara mengadakan kerjasama kukuh dalam bidang pelaburan, pendidikan, pertahanan, pertanian, pengangkutan, penerangan dan komunikasi, pengurusan bencana dan juga perkhidmatan awam. – WD MY