KUALA LUMPUR,OGOS 16:SENTIMEN… Kerajaan pimpinan Pakatan Harapan (PH) disifatkan sebagai ‘kakistocracy’ yang dikuasai individu tidak bertanggungjawab kerana gagal melaksanakan janji dalam manifesto mereka.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa, berkata rakyat boleh menilai sendiri kebertanggungjawaban kerajaan, terutama dari segi menunaikan 10 janji ditawarkan dalam 100 hari yang bakal berakhir tidak lama lagi.

“Selama 100 hari, ia diselubungi kebobrokan dan kakistocracy tahap tertinggi, yang mana kononnya manifesto bukan kitab suci. Ini menghina pengundi dan rakyat.

“Ini membuktikan bahawa dari awal lagi, mereka tiada hasrat menunaikan janji manifesto, malah ia satu penipuan terhadap pengundi secara terancang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Annuar berkata, sejak mengambil alih pemerintahan daripada kerajaan Barisan Nasional (BN), PH secara bertali arus menyerang pentadbiran kerajaan terdahulu dan bukan berusaha menunaikan janji.

“Ini ditegur oleh Naib Presiden PKR sendiri, Rafizi Ramli. PH tidak jemu memainkan sentimen bahawa punca utama mereka tidak dapat menunaikan janji ialah salah tadbir kerajaan terdahulu.

“Rakyat sudah mual dengan alasan dan sandiwara sebegini. Berjanji memang mudah kerana lidah tidak bertulang. Namun, menunaikan janji bukan semudah melafazkannya. Perbuatan memungkiri janji amat dilarang oleh Allah SWT,” katanya.

Justeru, beliau berkata, PH perlu menjalankan tanggungjawab sebagai kerajaan yang keutamaan ialah mensejahterakan rakyat demi agama, bangsa dan tanah air tanpa terikut-ikut rentak DAP kuat memanipulasi keadaan dengan ideologinya.-MY WD