MARAN, SEPTEMBER 27: USUL… Badan Perhubungan UMNO Pahang akan membentangkan beberapa usul pada Perhimpunan Agung UMNO 2018 termasuk berhubung cara meraih dan memulihkan kembali keyakinan rakyat terhadap parti berkenaan.

Pengerusinya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata walaupun mengalami kekalahan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas, semua anggota dan pemimpin parti itu tidak seharusnya berputus asa.

“UMNO perlu cari jalan bagaimana untuk kembalikan keyakinan rakyat. Masih ramai percaya kepada perjuangan UMNO.

“Jadi seharusnya sebagai pemimpin dan anggota parti, kita teruskan perjuangan yang dilakukan selama ini dan beri perkhidmatan terbaik khususnya di kawasan dimenangi termasuk di Pahang,” katanya.

Wan Rosdy berkata demikian selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Rakyat dan Pemimpin Maran di Dewan UMNO, Pekan Tajau di sini hari ini, sempena lawatan kerjanya ke daerah tersebut hari ini.

Mengulas mengenai perkara itu Wan Rosdy berkata UMNO Pahang sentiasa bersedia bekerjasama dengan pemimpin PAS di negeri ini, dalam sebarang bentuk yang memberi manfaat kepada rakyat.

“Kerjasama ini subjektif, kehadiran mereka pada majlis saya pun sudah dikira  satu kerjasama, begitu juga jika kita hadir pada kenduri mereka.-MY WD