KOTA BHARU,OGOS 18: KERJASAMA…UMNO akan meningkatkan kerjasama dengan PAS di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia ke tahap lebih tinggi berbanding apa yang diberikan PAS di PRK DUN Sungai Kandis.

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa, berkata pemimpin kanan UMNO turut dibenarkan mengiringi calon PAS, Dr Halimah Ali di pusat penamaan calon sebagai tanda sokongan moral.

Katanya, jika diminta, pemimpin dan penceramah UMNO dibenarkan berkongsi pentas dan berkempen untuk calon PAS.

“Jentera UMNO di cawangan dibenarkan memberi kerjasama sepenuhnya kepada jentera PAS sekiranya diminta. Kerjasama ini atas dasar rakyat berbilang kaum perlu disatukan untuk kita menolak Pakatan Harapan (PH) yang terbukti membohongi rakyat.

“PH juga mengizinkan terlalu banyak kerosakan kepada keharmonian hidup rakyat, nilai keagamaan, bahasa dan budaya.

“Sokongan PH kepada ideologi songsang dan berhaluan kiri termasuk sosialis, atheis, komunis, lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), liberalism dan seumpamanya bercanggah dengan Rukun Negara serta boleh merosakkan fabrik politik, sosio budaya dan kerukunan negara,” katanya dalam satu entri yang dimuat naik dalam akaun Facebook miliknya, hari ini.

PRK Seri Setia menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon PH, Halimey Abu Bakar dan calon PAS, Halimah yang diadakan serentak dengan PRK Balakong pada 8 September ini.

Kerusi DUN Seri Setia kosong berikutan kematian penyandangnya, Prof Dr Shaharuddin Badaruddin pada 2 Ogos lalu akibat barah usus.

Mengulas lanjut, Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh, berkata rakyat juga perlu memberi isyarat untuk menentang Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang diakui tidak cekap dan telus oleh kerajaan PH sendiri.

“SST hanya memberi untung kepada tauke, pelari cukai serta menggalakkan ‘black economy’ yang akhirnya merugikan negara dan rakyat. Rakyat perlu disatukan supaya Malaysia segera diselamatkan sebelum terlambat,” katanya.-MY WD