KUALA LUMPUR, 12 NOV – Susut…. Keuntungan bersih KLCC Property Holdings Bhd merosot kepada RM181.41 juta dalam tempoh suku ketiga berakhir 30 September 2019 berbanding RM181.43 juta dalam tempoh sama tahun lalu.

Bagaimanapun, pendapatan meningkat kepada RM353.52 juta berbanding RM349.48 juta sebelumnya.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, KLCC Property berkata bagi tempoh sembilan bulan terkumpul, dari 1 Januari hingga 30 September, pendapatan meningkat 1.8 peratus kepada RM1.1 bilion berbanding tempoh sama tahun lalu hasil daripada daya tahan segmen pejabat dan runcit selain prestasi kukuh segmen perkhidmatan pengurusan.

Ia berkata, segmen pejabat yang meliputi Petronas Twin Towers, Menara 3 Petronas, Menara Dayabumi dan Menara Exxonmobil, terus menjana aliran pendapatan yang kukuh kepada kumpulan, disokong profil pajakan jangka panjang serta kadar pendudukan penuh semua pejabat di menara pejabat.

Sementara itu, menerusi proses konfigurasi semula mengikut pengkhususan bagi segmen runcit syarikat – Suria KLCC dan podium runcit Menara 3 PETRONAS — dijangkakan mencatat peningkatan ketara hasil kepada RM125.2 juta.

Namun, segmen hotel berhadapan cabaran dalam industri hospitaliti Malaysia ekoran saingan daripada hotel-hotel baharu di pusat bandar Kuala Lumpur.

Ketua Pegawai Eksekutif KLCC Property, Datuk Hashim Wahir, berkata walaupun berhadapan ketidaktentuan serta unjuran ekonomi yang berhati-hati, kumpulan itu terus komited untuk memperoleh agihan pendapatan mampan dengan memastikan semua asetnya terus menarik dan relevan.

“Menerusi pelan strategik, terutama menerusi transformasi di Suria KLCC, kami akan terus mewujudkan pengalaman gaya hidup progresif dalam KLCC Precinct untuk pelanggan dan komuniti,” katanya. – WD MY