PUTRAJAYA, MAC 8: TAK PERLU….Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman,      Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd tidak perlu digantung tugas atau mengambil cuti susulan siasatan kerana memiliki akaun bank di Australia.

Timbalan Perdana Menteri,Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Wan Ahmad Najmuddin sudah memberi penjelasan sepenuhnya bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim sudah mengeluarkan kenyataan dan memaklumkan Wan Ahmad Najmuddin sudah memberi kerjasama penuh mengenai isu berkenaan.

“Saya juga percaya penjelasan diberikan beliau adalah berdasarkan bukti sah,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri dan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2017 di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, beliau juga dimaklumkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun turut meneliti dokumen jual beli yang dikemukakan Wan Ahmad Najmuddin termasuk segala transaksi dilakukan terhadap akaun berkenaan.

Katanya, terpulang kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau sesiapa saja untuk menyiasat lanjut perkara itu, namun beliau menegaskan Wan Ahmad Najmuddin perlu kekal dan tidak perlu digantung tugas.

“Beliau (Wan Ahmad Najmuddin) sudah memberi kerjasama dan mematuhi segala prosedur siasatan dijalankan. Kita (KDN) sudah buat keputusan (tidak menggantung tugas Wan Ahmad Najmuddin),” katanya.

Kelmarin, SPRM membuka kertas siasatan berhubung wang berjumlah AUD$320,000 (RM972,000) dalam sebuah akaun bank dibekukan di Australia milik Wan Ahmad Najmuddin.

Sehubungan itu, beberapa pihak termasuk pembangkang mendesak Wan Ahmad Najmuddin supaya digantung tugas sementara siasatan terhadapnya sedang dijalankan.

Mohamad Fuzi pada sidang media sebelum ini pula berkata, wang dalam akaun bank milik Wan Ahmad Najmuddin adalah daripada sumber yang sah.