KUALA LUMPUR, 24 SEPT – PERTAHAN….. Perlantikan Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB) yang baharu, Jalil Rasheed dibuat menerusi prosedur yang betul dan ia juga dimaklumkan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pengerusi Kumpulan PNB, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz, berkata keputusan melantik Jalil dibuat menerusi proses yang sangat ketat dan telus memandangkan pengurus dana unit amanah terkemuka Malaysia itu menggunapakai proses urus tadbir yang ketat.

Beliau juga menafikan perlantikan berkenaan diputuskan olehnya.

“Kami membentangkan (nama calon) kepada ahli lembaga pengarah dan sebelum membentangkannya kepada Yayasan Pelaburan Bumiputera yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri.

“Beliau (Perdana Menteri) maklum yang kami akan melantik Jalil pada ketika itu cuma mungkin beliau tidak mengetahui tarikh yang tepat bilakah pengumuman akan dibuat,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Galeri Pameran Merdeka 118 di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai keputusan perlantikan Jalil diputuskan beliau sepenuhnya dan kenyataan Perdana Menteri yang menyatakan tidak mengetahui mengenai pelantikan Jalil.

Pada 28 Ogos, PNB mengumumkan Jalil sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan baharunya berkuat kuasa 1 Oktober bagi menggantikan Datuk Abdul Rahman Ahmad yang kontraknya tamat pada 30 September ini.

Abdul Rahman juga dilantik sebagai Pengerusi Sime Darby Bhd pada 31 Oktober ini.

Pelantikan Jalil itu turut mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi Presiden dan Ketua Eksekutif paling muda dalam sejarah PNB sejak ditubuhkan pada 17 Mac 1978.

Sehari selepas pengumuman perlantikan itu, Perdana Menteri ketika ditanya pemberita sama ada Jalil adalah calon yang sesuai bagi mengemudi PNB, Mahathir berkata, beliau tidak mendapat maklumat mengenai perlantikan itu. – WD MY