Anthony Loke Letak Jawatan Berkuat Kuasa Serta-Merta

Kuala Lumpur: Anthony Loke Siew Fook mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Pengangkutan berkuat kuasa serta-merta susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini berhubung pelaksanaan tahanan rumah terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Loke berkata, keputusan itu selaras dengan pendirian yang diumumkannya pada Jumaat lalu berhubung isu berkenaan.

“Susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada hari ini untuk Dato’ Seri Najib Tun Razak menjalani tahanan rumah dan selaras dengan pendirian yang telah saya umumkan pada Jumaat lalu, peletakan jawatan saya sebagai Menteri Pengangkutan berkuat kuasa serta-merta.

“Keputusan ini berpegang pada prinsip dan pendirian yang telah saya jelaskan sebelum ini,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Dalam kenyataan sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas kepercayaan dan mandat yang diberikan kepadanya untuk menerajui Kementerian Pengangkutan.

Loke berkata, beliau diberi peluang berkhidmat dalam Jemaah Menteri pimpinan Anwar sejak Disember 2022.

“Saya merakamkan penghargaan kepada YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim di atas kepercayaan dan mandat yang diberikan kepada saya untuk berkhidmat dalam Jemaah Menteri beliau sejak Disember 2022,” katanya.

Pada masa sama, Loke memberi jaminan akan memberikan kerjasama sepenuhnya bagi memastikan proses peralihan tugas dapat dilaksanakan dengan lancar.

Beliau turut menegaskan, segala tanggungjawab dan inisiatif kementerian perlu diteruskan demi kepentingan rakyat meskipun tidak lagi memegang jawatan berkenaan.

“Saya akan memberikan kerjasama sepenuhnya untuk memastikan urusan peralihan tugas berjalan lancar dan segala tanggungjawab dan inisiatif kementerian terus dilaksanakan demi kepentingan rakyat,” katanya.