Perancangan Dan Strategi Pembangunan Bandar Berbeza
Pendekatan perancangan dan strategi pembangunan bandar perlu berbeza mengikut iklim, persekitaran serta keutamaan setiap kawasan bagi memastikan pembangunan yang dilaksanakan benar-benar memenuhi keperluan setempat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, setiap bandar mempunyai ciri dan keperluan tersendiri, justeru pendekatan pembangunan tidak boleh disamaratakan.
Negara juga perlu terus memperkukuh ilmu pengetahuan, bakat serta keupayaan industri bagi menyesuaikan, menghasilkan dan mengeksport teknologi yang berjaya dikuasai, katanya.
“Kerjasama antara kerajaan, industri dan rakan teknologi amat penting bagi memastikan inovasi dapat diterjemahkan kepada hasil praktikal yang memberikan manfaat sebenar kepada masyarakat.
“Pada masa sama, kontraktor tempatan khususnya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) perlu diberikan akses kepada pengetahuan, latihan, teknologi serta peluang perniagaan supaya tidak tercicir dalam transformasi sektor pembinaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Minggu Pembinaan Antarabangsa 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini.
Hadir sama, Menteri Kerjaya Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.
Anwar berkata, pelaburan dalam pembangunan modal insan juga perlu diberi keutamaan memandangkan tenaga kerja sektor pembinaan pada masa hadapan memerlukan kompetensi baharu dalam bidang reka bentuk digital, automasi, pembuatan termaju, robotik dan proses pembinaan berasaskan teknologi.
Katanya, pameran dan pertemuan industri seperti itu mampu memberikan pendedahan terhadap perkembangan teknologi selain membuka ruang perkongsian kepakaran dan pengalaman dengan negara ASEAN serta rakan antarabangsa termasuk negara Teluk.
Beliau turut menegaskan, kepentingan kerjasama antara universiti, institusi latihan, pemain industri dan agensi kerajaan dalam mempersiapkan tenaga kerja negara menghadapi perubahan serta tuntutan baharu sektor berkenaan.
Menurutnya, kejayaan transformasi sektor pembinaan tidak seharusnya dinilai berdasarkan jumlah teknologi diperkenalkan atau projek yang disiapkan semata-mata.
Sebaliknya, ia perlu diukur menerusi keupayaan yang berjaya dibangunkan, peluang perniagaan untuk syarikat tempatan, kualiti rumah dan infrastruktur yang disediakan serta nilai sumbangan kepada ekonomi Malaysia.

