Lancar Kempen Year End Zakat

KUALA LUMPUR – Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) melancarkan Kempen Year End Zakat (YEZ) 2026 bagi menggalakkan umat Islam menyempurnakan kewajipan zakat. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, berkata kempen bertemakan Sempurna Bersama itu sudah bermula sejak 1 November lalu hingga 31 Disember ini. 

Katanya, objektif utama kempen itu adalah mengajak masyarakat menjadikan amalan berzakat dan berwakaf sebahagian daripada didikan keluarga supaya nilai berkongsi rezeki dapat difahami, diamalkan dan diwarisi generasi seterusnya.

“Setiap generasi mempunyai perjalanan zakat yang berbeza, daripada mula mengenali zakat dan membuat bayaran pertama sehinggalah menunaikan zakat harta serta membimbing anak-anak melaksanakan tanggungjawab sama. 

“Jadi melalui kempen ini, PPZ-MAIWP mahu membina generasi yang memahami, mengamalkan dan membudayakan zakat dalam kehidupan.

“Bagi menyokong usaha itu, PPZ-MAIWP turut menyediakan pelbagai kemudahan digital, perkhidmatan kaunter dan aktiviti sepanjang kempen untuk membantu pembayar menyemak, mengira serta menunaikan zakat dengan lebih mudah,” katanya pada Majlis Pelancaran Kempen YEZ 2026 di Immersify Kuala Lumpur, The Labs City Centre. 

Beliau berkata, antara tarikan utama Kempen YEZ 2026 ialah pengenalan Kalkulator ZakatKu, yang menawarkan pengalaman pengiraan zakat lebih menyeluruh dan diperibadikan mengikut profil pembayar.

Beliau berkata, kemudahan itu membimbing pengguna mengenal pasti jenis pendapatan dan harta yang perlu dinilai berdasarkan pekerjaan serta aset yang dimiliki, sekali gus membantu mereka memahami tanggungjawab zakat dengan lebih jelas dan mengurangkan risiko terlepas pandang harta yang perlu dizakatkan.

“Melalui panduan langkah demi langkah, pengguna dibantu membuat pengiraan berdasarkan maklumat dimasukkan termasuk penggabungan harta yang berkaitan bagi menentukan kecukupan nisab. 

“Daripada mengenal pasti harta, mengira zakat hingga terus membuat bayaran melalui portal PPZ-MAIWP, Kalkulator ZakatKu memudahkan pembayar menyempurnakan kewajipan mereka dalam satu perjalanan digital yang lebih tersusun,” katanya. 

Selain itu beliau berkata, aplikasi MyZakat 4.0 turut dipertingkatkan dengan ciri EzyPay bagi memudahkan urusan bayaran melalui beberapa langkah ringkas, serta MyResit untuk menyemak, memuat turun dan berkongsi resit serta penyata bayaran zakat dan wakaf.