TPM Ahmad Zahid Dicabar Letak Jawatan

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dicabar meletakkan jawatan sekiranya beliau tidak lagi mempunyai keyakinan terhadap kepimpinan kerajaan sedia ada, berbanding mendesak supaya Parlimen dibubarkan lebih awal.

Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo, berkata kenyataan Timbalan Perdana Menteri selaku Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu disifatkan sebagai tidak wajar sama sekali, lebih-lebih lagi apabila ia datang daripada individu yang memegang jawatan kedua tertinggi dalam pentadbiran negara.

Beliau berkata, kuasa untuk menentukan pembubaran Parlimen terletak sepenuhnya di tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan tiada keperluan untuk perkara berkenaan dibincangkan ketika ini.

“Kalau beliau tidak mempunyai keyakinan dengan pimpinan sesiapa, terpulang, beliau boleh meletak jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri. Itu pilihan dia.

“Kalau UMNO dan Barisan Nasional (BN) tidak setuju serta tidak yakin, letak saja jawatan. Tidak perlu membuat desakan kepada Perdana Menteri untuk membubarkan Parlimen dan sebagainya,” katanya.

Gobind berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pendirian DAP berhubung cadangan supaya Parlimen dibubarkan lebih awal susulan kenyataan Ahmad Zahid sebelum ini.

Mengulas lanjut, Gobind yang juga Menteri Digital berkata, pemimpin UMNO dan BN diingatkan supaya menghormati kedudukan Perdana Menteri memandangkan pelantikan mereka sebagai anggota Jemaah Menteri adalah atas budi bicara serta keputusan Ketua Kerajaan itu.

“Mereka kena menghormati kedudukan Perdana Menteri. Pilihan mereka sebagai ahli Kabinet juga adalah susulan daripada keputusan Perdana Menteri, jadi hormatlah sedikit.

“Kalau tiada keyakinan, jangan minta Perdana Menteri untuk bubar (Parlimen). Kamu letak jawatan, senang saja,” katanya.

Dalam pada itu, Gobind menyifatkan pentadbiran Kabinet ketika ini berada pada landasan tepat dan berfungsi dengan baik dalam mengemudi ekonomi negara ke arah yang lebih kukuh.

Katanya, meskipun negara-negara lain berdepan pelbagai cabaran global, Malaysia kekal stabil dan terus menjadi destinasi pilihan utama pelabur asing serta industri perniagaan antarabangsa.

“Perdana Menteri menjalankan tugas dengan baik dan beliau kini membawa negara ke arah ekonomi yang lebih kukuh. Kita semua dapat melihatnya.

“Kita berada dalam ruang iaitu kita boleh dan harus melihat bagaimana untuk membawa negara ke hadapan. Justeru, tidak perlu untuk kita berbincang mengenai aspek pembubaran (Parlimen),” katanya.