Perlu Pengesahan Pengenalan Diri Bagi Whatsapp
Kuala Lumpur – Kementerian Komunikasi sedang meneliti kewajaran mewajibkan aplikasi WhatsApp mengesahkan nombor telefon yang dipautkan kepada setiap akaun bagi membendung penyalahgunaan platform itu untuk kegiatan penipuan.
Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, langkah terbabit antara tindakan tambahan yang sedang diteliti kementerian susulan perubahan modus operandi sindiket penipuan, termasuk penyamaran sebagai pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
Beliau berkata, ketika ini WhatsApp tidak menetapkan syarat pengesahan nombor telefon bagi akaun penggunanya, sekali gus membuka ruang kepada penyalahgunaan platform itu untuk kegiatan penipuan.
Katanya, isu terbabit turut dibangkitkan beberapa negara pada peringkat antarabangsa, termasuk ketika perbincangan bersama Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU).
“Pada waktu ini, WhatsApp tidak menggunakan syarat pengesahan akaun. Namun, di beberapa negara, isu penyalahgunaan WhatsApp untuk tujuan panggilan penipuan turut dibangkitkan.
“Antara perkara yang sedang diteliti adalah pengesahan identiti dan nombor telefon yang digunakan untuk akaun WhatsApp,” katanya petang semalam.
Mengulas lanjut tindakan kementerian susulan penahanan 61 individu disyaki terbabit dalam kegiatan sindiket penipuan, termasuk menyamar sebagai pegawai MCMC dalam operasi dijalankan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Selangor, Fahmi berkata, kerajaan akan memastikan semua individu diberkas, disiasat dan dihadapkan ke mahkamah sekiranya didapati melanggar undang-undang.
Katanya, selain tindakan penguatkuasaan, MCMC turut meneliti beberapa langkah teknikal tambahan di peringkat rangkaian bagi mengekang kegiatan penipuan yang semakin berubah modus operandinya.
Beliau berkata, MCMC sebelum ini melaksanakan perubahan teknikal bagi mengekang kegiatan ‘spoofing calls‘, namun sindiket beralih menggunakan kaedah lain untuk memperdaya mangsa.
“MCMC sudah melaksanakan satu perubahan teknikal yang sudah mengekang apa yang disebut sebagai ‘spoofing calls‘ dan ia sudah berjaya laksanakan.
“Tapi pihak ‘scammer’, mereka beralih kepada cara scam yang berbeza. Jadi ini kita nampak perlu beberapa tindakan tambahan,” katanya.
Dalam pada itu, Fahmi mengingatkan orang ramai berwaspada terhadap panggilan daripada individu yang menyamar sebagai pegawai MCMC, khususnya yang mendakwa talian telefon pengguna akan ditamatkan atau mempunyai tunggakan bil.
Beliau menegaskan MCMC tidak sesekali membuat panggilan kepada orang awam untuk memberi amaran penutupan talian telefon, manakala urusan tunggakan bil adalah tanggungjawab syarikat telekomunikasi (telco).
“Sekiranya menerima panggilan yang mencurigakan, letakkan telefon dan tamatkan panggilan itu.
“Kemudian, buat laporan kepada polis atau MCMC. Orang ramai juga boleh menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) menerusi talian 997,” katanya.

