Malaysia Pertingkat Hadapi Keselamatan Komunikasi Dan Jenayah Siber

Kuala Lumpur – Negara perlu bersedia menghadapi proses penghijrahan kuantum bagi memastikan keselamatan komunikasi dan infrastruktur digital negara terus terpelihara daripada ancaman jenayah siber.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, persediaan ke arah komunikasi selamat kuantum (quantum-safe communication) penting bagi melindungi data yang disalurkan melalui rangkaian telekomunikasi daripada risiko diceroboh atau dicuri penjenayah siber.

“Perkembangan teknologi global kini bukan hanya tertumpu kepada kriptografi kuantum, malah turut melibatkan komunikasi selamat kuantum bagi memastikan sistem komunikasi negara mampu menghadapi ancaman teknologi berkenaan.

“Ini penting kerana apa yang kita lihat, trend dalam dunia sekarang bukan hanya ke arah kriptografi kuantum, tetapi juga komunikasi selamat kuantum bagi memastikan semua data yang disalurkan melalui talian telekomunikasi, gelombang mikro dan sebagainya tidak boleh diceroboh, dicuri atau digodam oleh penjenayah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas majlis perasmian simposium keselamatan siber NEXSEC 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), hari ini.

Fahmi berkata, beliau telah meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengadakan perbincangan meja bulat penyelidikan dan pembangunan (R&D) bersama pengendali rangkaian mudah alih (MNO) serta kumpulan infrastruktur bagi meneliti persediaan menghadapi perubahan teknologi itu.

Katanya, usaha berkenaan perlu mengambil kira keperluan sumber dan kos, selain memastikan pembangunan infrastruktur digital negara seiring dengan tahap keselamatan siber yang kukuh.

“Tiada gunanya kita mempunyai infrastruktur atau seni bina maklumat bertaraf dunia pertama jika ia tidak disertai keselamatan siber bertaraf pertama juga,” katanya.

Beliau berkata, ancaman keselamatan siber turut berkembang dengan kemunculan kecerdasan buatan (AI) agentik yang boleh menimbulkan cabaran baharu kepada keselamatan digital.

Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata, kerajaan mencatatkan pengurangan beberapa bentuk penipuan termasuk call spoofing hasil usaha MCMC dengan kerjasama syarikat telekomunikasi.

Bagaimanapun, katanya, penjenayah akan terus mencari kaedah baharu untuk melancarkan serangan, sekali gus memerlukan kerjasama berterusan antara MCMC dan organisasi seperti Global Anti-Scam Alliance (GASA) bagi meningkatkan keselamatan serta melindungi rakyat daripada penipuan.

Majlis itu turut menyaksikan pelancaran laporan GASA yang mendokumentasikan usaha kerajaan Malaysia dalam menangani penipuan, selain pemeteraian memorandum persefahaman antara MCMC dan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) bagi menyokong pembangunan Pusat Pembangunan Kriptologi Keselamatan Siber (CSCDC).