Pengayuh Beca Berlesen Sahaja Kata Persatuan Abg Beca Melaka

DUYONG – Dua persatuan beca terbesar di Melaka menggesa Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) mengambil tindakan lebih tegas terhadap pengayuh beca yang beroperasi tanpa lesen di sekitar kawasan pelancongan di Bandar Hilir di sini.

Pengerusi Persatuan Abang Beca Melaka, Azman Dolah berkata, MBMB sewajarnya mengambil tindakan termasuk merampas dan menyita beca yang dikendalikan tanpa lesen.

Tindakan itu katanya, perlu kerana pengayuh berlesen yang membayar lesen, terjejas pendapatan apabila pengayuh tanpa lesen bebas beroperasi.

“Mereka tidak bayar, kita yang bayar, dia suka-suka masuk. Jadi saya mintalah MBMB bertindak. Sudah lama tidak bertindak. Kita lapor pun tidak bertindak,” katanya.

WhatsApp-Image-2026-11-25-at-09
Azman Dolah

Dia ditemui selepas majlis  Penutup Taklimat dan Penyerahan Lesen kepada 311 pengayuh beca Negeri Melaka di Dewan Bola Keranjang MBMB, Bukit Serindit, di sini semalam.

Penyerahan disempurnakan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kemajuan Desa negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.

Hadir sama, Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman.

Menurut Azman, ketika ini terdapat kira-kira 280 pengayuh beca berlesen manakala lebih 20 pengayuh dikesan beroperasi tanpa lesen.

“Kami minta MBMB buat kerja untuk pastikan yang berlesen sahaja yang membawa beca di Melaka,” katanya.

Beliau berkata, kewujudan beca tanpa lesen secara tidak langsung menjejaskan imej pengayuh berlesen yang tertakluk kepada garis panduan termasuk dari segi pakaian dan tatacara operasi.

“Yang berlesen bayar, cari makan di tempat kita. Yang tak berlesen ini tak bayar, jadi dia sikit sebanyak mengganggu pendapatan yang berlesen,” katanya.

Menurut Azman, ketika ini terdapat kira-kira 280 pengayuh beca berlesen, manakala lebih 20 pengayuh dikesan beroperasi tanpa lesen.

WhatsApp-Image-2026-11-25-at-09
Rosli Madin

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Beca Persona Negeri Melaka, Rosli Madin berkata, amaran penarikan lesen itu baik untuk menjaga imej pengayuh beca, namun setiap kesalahan perlu dilihat dari sudut yang berbeza sebelum sebarang tindakan diambil.

“Kita bukan nak jatuhkan hukuman, tapi kita nak selesaikan masalah. Peringatan sebegitu eloklah untuk menjaga imej,” katanya.

Rosli berkata, perkara itu bukan baharu dan turut berlaku dalam sektor perkhidmatan awam lain seperti teksi.

Beliau bagaimanapun menasihatkan pengayuh tanpa lesen supaya tampil memohon lesen ketika tempoh permohonan dibuka agar pendapatan lebih terjamin.

Tambah Rosli, persatuannya kini mempunyai kira-kira 50 ahli.