Pindaan Akta MARA Hujung Bulan Ini Di Parlimen Kata Ahmad Zahid

KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang (RUU) Pindaan Akta Majlis Amanah Rakyat (MARA) 1966 dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat sebelum tamat sidang Parlimen tahun ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, penyediaan draf akhir RUU berkenaan kini berada di peringkat terakhir sebelum dimuktamadkan untuk pembentangan dan kelulusan Parlimen.

Beliau berkata, usaha itu merupakan langkah penting dalam memastikan peranan MARA terus diperkukuh, khususnya dalam melaksanakan agenda pembangunan usahawan Bumiputera serta memperluas peluang perniagaan ke peringkat antarabangsa.

“Segala-galanya telah di peringkat terakhir dan kita harap dalam waktu terdekat serta sebelum tamatnya sidang Dewan Rakyat pada tahun ini, kita akan dapat versi terakhir untuk penyediaan The Blue Bill ataupun Bil Biru untuk dibentangkan di Dewan Rakyat bagi mendapat kelulusan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Anugerah Usahawan MARA (AURA)2026 di Kuala Lumpur.

Dalam perkembangan berkaitan,Datuk Seri Dr Ahmad Zahid berkata MARA menyalurkan pembiayaan berjumlah RM552 juta pada tahun lalu dan menyasarkan peningkatan sehingga RM1 bilion pada masa hadapan bagi menggalakkan lebih ramai usahawan menyertai program Gate to Global.

Menurutnya, program berkenaan bertujuan membantu usahawan tempatan memperluas pasaran produk dan perkhidmatan mereka ke peringkat antarabangsa.

“Di samping itu juga kami merencanakan agar syarikat-syarikat ini dapat dimasukkan sebagai syarikat yang tersenarai di Bursa Kuala Lumpur dan saya amat yakin usaha ini dapat dilakukan dengan lebih agresif mulai tahun hadapan kerana kita telah mengenal pasti syarikat-syarikat yang mempunyai turnover yang mencukupi dan juga profitability atau keuntungan yang mengikut syarat-syarat yang ditetapkan oleh Bursa.

“Dan insyaallah kita akan terus membantu dan menentukan agar mereka bersama-sama untuk disenaraikan di Bursa Malaysia.

Beliau berkata, usaha itu akan dipergiatkan mulai tahun hadapan selepas beberapa syarikat yang mempunyai jumlah perolehan dan keuntungan menepati syarat Bursa dikenal pasti.

Katanya, Anugerah Usahawan MARA yang dianjurkan setiap dua tahun bukan sekadar pengiktirafan kepada kejayaan usahawan, malah bertujuan menjadikan penerimanya sebagai ikon dan pemangkin kepada lebih ramai usahawan di bawah bimbingan serta pembiayaan MARA.