SMK Seri Pantai Usaha MP Lembah Pantai

KUALA LUMPUR – Kerja perobohan bangunan lama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Pantai dijangka dimulakan sebelum sambutan Krismas bulan depan bagi memberi laluan kepada pembangunan Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Pantai yang baharu.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Datuk Seri Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil berkata, persediaan pembangunan sekolah berkenaan kini sedang berjalan, termasuk usaha memindahkan kira-kira lapan pengusaha bengkel yang masih beroperasi di sebahagian tapak berkenaan.

Katanya, lokasi baharu bagi pengusaha bengkel terbabit sudah dikenal pasti di kawasan bersebelahan Residensi Alamanda, Pantai Dalam, hasil kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat (MPP), persatuan pengusaha bengkel dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Saya telah memohon kerjasama Kementerian Pendidikan (KPM), Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) Wilayah Persekutuan serta DBKL supaya ruang masa yang munasabah diberikan, sambil memastikan kerja pembangunan sekolah tidak terus tertangguh,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurutnya, proses perobohan dijangka mengambil masa kira-kira 12 hingga 18 bulan sebelum pembinaan sekolah baharu dapat dimulakan.

Ahli-Parlimen-Lembah-Pantai-Datuk-Seri-Ahmad-Fahmi-Mohamed-Fadzil-yang-juga-Menteri-Komunikasi-turun-ke-tapak-lama-SMK-Seri-Pantai-meninjau-perkembangan-persediaan-pembangunan-SK-Seri-Pantai-scaled

Terdahulu, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi memaklumkan turun ke tapak lama SMK Seri Pantai hari ini bagi meninjau perkembangan persediaan pembangunan sekolah rendah baharu itu.

Ujarnya, kebajikan pengusaha bengkel yang sudah lama mencari rezeki di kawasan berkenaan perlu diberikan perhatian sepanjang proses pembangunan dilaksanakan.

“Kita mahu sekolah baharu dibina, tetapi kebajikan mereka yang telah lama mencari rezeki di sini juga mesti diurus dengan baik.

“Pembangunan mesti berjalan, namun penyelesaiannya juga mesti bersifat manusiawi,”tambahnya.

Katanya, bangunan lama berkenaan tidak lagi digunakan sejak pelajar berpindah ke bangunan baharu pada 2021, sebelum permohonan merobohkannya dikemukakan pada 2023 bagi membolehkan projek sekolah rendah itu dilaksanakan.

“Harapan saya, SK Seri Pantai akan mempunyai lebih 30 bilik darjah dan dapat membantu mengurangkan kesesakan termasuk di SK Bangsar yang kini beroperasi dua sesi,” katanya lagi.