Enam Exco Baharu Angkat Sumpah

KUALA PILAH – Barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan baharu mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Besar Seri Menanti hari ini.

Majlis Istiadat Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan itu berlangsung pukul 10.45 pagi turut disaksikan Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim.

Ia sekali gus menandakan pembentukan semula barisan pentadbiran kerajaan negeri selepas perkembangan politik yang mencetuskan perubahan kepimpinan Exco.

Seramai enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Negeri Sembilan yang dilantik dan mengangkat sumpah sebagai Exco baharu melibatkan tiga dari UMNO serta seorang masing-masing MCA, Pas dan Wawasan.

Antara tiga wakil UMNO itu ialah ADUN Kota, Suhaimi Aini; ADUN Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir dan ADUN Senaling, Mohamad Qayyum Abd Jalil.

Manakala wakil Pas, Wawasan dan MCA pula masing-masing ialah ADUN Bagan Pinang, Abdul Fatah Zakaria, ADUN Gemas, Ridzuan Ahmad dan ADUN Repah, Koh Kim Swee.

Pelantikan baharu itu menyusul kemelut politik dan pentadbiran Negeri Sembilan yang berlarutan sejak September lalu termasuk pertikaian berkaitan kedudukan Yang di-Pertuan Besar serta pembatalan pelantikan 10 Exco kerajaan negeri.

Pada 20 September lalu, Tuanku Muhriz membatalkan pelantikan kesemua 10 Exco berkuat kuasa serta-merta selepas mendapati mereka memungkiri sumpah jawatan melalui tindakan dan kenyataan pada 15 September.

Keputusan itu dibuat berdasarkan Perkara XXXVIII(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, yang menetapkan seseorang Exco memegang jawatannya selagi mendapat perkenan Yang di-Pertuan Besar.

Sebelum ini, 10 Exco mengangkat sumpah dan menandatangani ikrar taat setia di hadapan Tuanku Muhriz pada 7 Ogos lalu.