Amalan Menabung Perlu Diterap Sejak Kecil Lagi
KUALA LUMPUR – Amalan menabung dan kecelikan kewangan perlu dipupuk sejak usia muda bagi membentuk generasi yang berhemat, sekali gus mengelakkan sikap boros serta bebanan hutang apabila dewasa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tanpa latihan dan kesedaran mengenai nilai wang sejak kecil, seseorang individu berisiko terjerumus dalam budaya berbelanja mengikut nafsu atau conspicuous consumption yang akhirnya merugikan diri dan keluarga.
“Kalau tidak, tengok sahaja iklan jualan, terus beli. Wang tidak ada, tidak mengapa, akhirnya hutang membebankan kita.
“Sebab itu amalan dan budaya menabung sejak muda sangat penting. Jika sejak kecil tidak dilatih dengan kecelikan kewangan, apabila dewasa dan diberi amanah, kekayaan pula dirompaknya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) di Stadium Merdeka, di sini.
Anwar turut menghargai inisiatif Permodalan Nasional Berhad (PNB) dalam memperkasakan literasi kewangan dalam kalangan pelajar dan generasi muda sebagai langkah persediaan awal menghadapi masa depan.
Beliau memaklumkan, sehingga Oktober 2025, seramai 280,000 pelajar telah menyertai program Celik MADANI yang dilancarkan sejak 2024, manakala Kelab Pelaburan Bijak PNB pula telah menjangkau lebih 1.3 juta pelajar di hampir 500 sekolah sejak penubuhannya pada 2001.
Sehubungan itu, beliau mencabar generasi muda agar terus meningkatkan penyertaan dan usaha menabung melebihi sasaran yang direncanakan.
Menurutnya, penguasaan dalam kecelikan kewangan dan ekonomi merupakan asas penting yang akan berkembang kepada kecelikan budaya, seterusnya menjamin masa depan negara yang lebih selamat dan kukuh.

