Anwar Minta Loke Sambung Kerja Secepat Mungkin
SEREMBAN – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui sukar untuk menerima cadangan atau hasrat Anthony Loke untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan, meskipun Ahli Parlimen Seremban itu memberikan alasannya tersendiri untuk berbuat demikian.
Mengulangi kenyataan bahawa Loke kini sedang bercuti, Perdana Menteri berkata beliau mahu Setiausaha Agung DAP itu untuk menyambung tugasnya sebagai Menteri Pengangkutan secepat mungkin.
“Saya faham (dia mahu letak jawatan), tapi saya katakan alasan apa pun tidak boleh mengatasi peranan kita untuk mengabdikan tugas serta tanggungjawab untuk rakyat dan negara.
“Beliau (Loke) ketika ini sedang bercuti dan saya nak minta dia sambung kerja secepat mungkin,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Yakin Madani Peringkat Negeri Sembilan di Kompleks Belia dan Sukan, dekat Paroi.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata beliau menghormati alasan dikemukakan Loke, namun menegaskan alasan peribadi tidak seharusnya mengatasi tanggungjawab untuk berkhidmat kepada rakyat dan negara, khususnya apabila menerajui kementerian yang besar serta strategik.
“Prestasi beliau baik dan membanggakan. Jadi, saya sukar menerima cadangan beliau untuk meletakkan jawatan walaupun alasan-alasan beliau saya hormat dan faham.
“Tambahan pula beliau menerajui satu kementerian penting yang menghubungkan rakyat dari segi perhubungan dan pengangkutan,” katanya.
Mengenai majlis hari ini, Anwar berkata beliau sendiri mengarahkan Loke untuk hadir memandangkan program itu dianjurkan dengan kerjasama Kementerian Pengangkutan dan Kerajaan Negeri Sembilan.
Loke mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Menteri Pengangkutan pada 10 November lalu susulan keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International di bawah tahanan rumah.
Keputusan itu selari pendirian DAP yang sebelum ini menyatakan ketidaksetujuan terhadap pemberian pengampunan bersyarat kepada Najib.
Bagaimanapun, Anwar menegaskan beliau belum menerima peletakan jawatan berkenaan dan meminta Anthony mengambil cuti terlebih dahulu sementara perkara itu dibincangkan.

