UMNO Di Kuala Lumpur Mereka Tak Tahu Projek Untuk Rakyat – Hannah Yeoh
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Wilayah Persekutuan, Hannah Yeoh menjawab kritikan Umno Kuala Lumpur berhubung anggaran RM55 juta bagi pembinaan laluan pejalan kaki berbumbung sepanjang 22 kilometer di 11 kawasan Parlimen ibu negara.
Beliau menegaskan jumlah tersebut masih merupakan anggaran awal dan bukannya kos muktamad kerana lokasi sebenar projek belum ditentukan.
Menurut Hannah, setiap Ahli Parlimen akan mengenal pasti laluan sepanjang dua kilometer di kawasan masing-masing sebelum penilaian kos terperinci dilaksanakan.
Katanya, kos pembinaan mungkin berbeza mengikut keadaan tapak termasuk keperluan mengalihkan kabel utiliti, membersihkan kawasan serta menjalankan kerja tambahan.
“Umno di Kuala Lumpur ini mereka tidak berapa tahu mengenai projek yang mementingkan rakyat,” katanya ketika menjawab kritikan terhadap cadangan berkenaan.
Hannah berkata demikian pada sidang media bersama YBhg. Datuk Seri TPr Fadlun Mak Ujud Datuk Bandar Kuala Lumpur status pelaksanaan Projek Lestari Niaga 2026 di Pasar Batu 2½ Jalan Ipoh, Kuala Lumpur, hari ini.
Beliau menjelaskan, proses seterusnya akan melibatkan penyediaan dokumen kuantiti bahan atau Bill of Quantities (BQ) sebelum projek dilaksanakan menerusi tender terbuka.
“Kalau Umno nak persoal, persoal kemudian, bukan sekarang kerana sekarang masih anggaran perbelanjaan,” tegasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Hannah berkata Projek Lestari Niaga merupakan inisiatif yang dimulakan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi memastikan dasar kerajaan memberi manfaat kepada rakyat.
Menurutnya, Perdana Menteri sentiasa mengingatkan bahawa segala dasar yang dirangka di Putrajaya mesti dapat dirasai oleh masyarakat di lapangan.
Beliau berkata, pendekatan menaik taraf lokasi perniagaan secara menyeluruh dan sistematik dapat mengelakkan pemilihan projek secara berasingan serta sebarang campur tangan politik.
Katanya, projek Lestari Niaga yang belum disiapkan tahun ini akan diteruskan pada 2027 bagi memastikan kemudahan peniaga terus ditambah baik.
Hannah turut menggalakkan penduduk Kuala Lumpur kembali mengunjungi pasar tradisional yang dinaik taraf oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi menyokong peniaga tempatan.
Beliau berkata, ramai peniaga pasar telah menjalankan perniagaan sejak dua hingga tiga generasi lalu dan kini berdepan persaingan daripada pembelian barangan secara dalam talian.
Sementara itu, menyentuh isu banjir kilat, Hannah meminta pengendali lebuh raya meningkatkan pemeriksaan serta penyelenggaraan sistem saliran bagi mengelakkan kejadian air naik mendadak ketika hujan lebat.
Beliau menegaskan, pengendali lebuh raya perlu memastikan pemeriksaan berkala dilakukan kerana Kuala Lumpur dikelilingi rangkaian lebuh raya yang turut mempengaruhi aliran air ketika hujan.
Hannah turut memaklumkan cadangan menyerahkan pengurusan kawasan parkir tertentu berhampiran kemudahan MRT kepada pihak MRT untuk memastikan pengoperasiannya lebih teratur dan memenuhi keperluan pengguna pengangkutan awam.

