Loke Bidas Zahid Hamidi Dan MCA

Tidak lagi terbeban dengan tanggungjawab untuk menjaga keharmonian dalam Jemaah Menteri, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, kini menyasarkan kritikannya terhadap Pengerusi BN, Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden MCA, Wee Ka Siong, sambil meminta pengundi supaya menolak kembalinya gabungan itu.

Loke, yang meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan berkuat kuasa semalam susulan pemindahan bekas perdana menteri, Najib Razak, ke tahanan rumah, berkata demikian sebagai respons terhadap peringatan Zahid bahawa dia pernah berjanji untuk meletakkan jawatan sebaik sahaja Najib pulang ke rumah.

“Saya nak bagitahu Zahid, ini setiausaha-agung DAP, ini bukan presiden MCA. Ini Anthony Loke, bukan Wee Ka Siong.

“Saya kata saya akan letak jawatan, saya akan letak jawatan,” tegasnya dalam ceramah di Batu Berendam, Melaka malam tadi.

Loke berkata DAP menghormati kuasa Yang di-Pertuan Agong di bawah perlembagaan untuk memberikan pengampunan, namun menegaskan parti itu mempunyai pendirian tersendiri berhubung tahanan rumah Najib.

Loke mula menawarkan untuk meletakkan jawatan selepas mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP pada 19 Sept lalu memutuskan bahawa dia perlu meninggalkan Kabinet sebagai mencerminkan bantahan parti itu terhadap keputusan membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjaranya di bawah tahanan rumah.

Dia kemudian menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, pada 28 Sept lalu, namun bersetuju untuk kekal memegang jawatan buat sementara waktu atas permintaan Anwar.

Keesokan harinya, Loke berkata dia sudah menetapkan tempoh yang jelas untuk meninggalkan Kabinet dan menegaskan peletakan jawatannya akan berkuat kuasa pada hari Najib pulang ke rumah.

Najib tiba di kediamannya di Kuala Lumpur malam tadi selepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengeluarkan perintah yang membuka laluan untuk pemindahannya dari Penjara Kajang.

Mengikut perintah itu, Najib, 73, akan menjalani baki hukuman penjara enam tahun yang telah dikurangkan dalam kes SRC International di bawah tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028. Dia perlu kembali ke Penjara Kajang pada 24 Ogos 2028 untuk menjalani hukuman berasingan dalam kes 1MDB.

Dalam nada yang jauh lebih keras daripada kebiasaannya, Loke turut menyindir MCA dengan membayangkan pemimpin parti itu sudah terbiasa mengeluarkan ugutan tanpa melaksanakannya.

Dia merujuk kepada amaran berulang kali Wee bahawa MCA akan mengambil tindakan tegas susulan keputusan BN untuk mengadakan rundingan pembahagian kerusi bagi pilihan raya negeri Melaka tanpa pengetahuannya, selain pengumuman calon tanpa merujuk kepadanya.

Bagaimanapun, Loke berkata MCA akhirnya menerima susunan yang diputuskan BN, yang menyaksikan parti itu bertanding di dua kerusi yang pernah dimenanginya sebelum ini serta dua kerusi tambahan.

“Inilah perangai MCA. Mereka ini tak ada prinsip, tak berani ambil tindakan,” dakwa Loke.,” dakwa Loke.

Sebaliknya, dia berkata DAP dan PH bersedia berpegang pada kata-kata dan prinsip mereka, meskipun tindakan itu membawa risiko dari segi politik.

Loke turut menggesa pengundi Melaka supaya mengingat semula kemarahan rakyat terhadap rasuah dan skandal 1MDB yang menjadi antara faktor kekalahan BN pada Pilihan Raya Umum 2018.

“Kita tak pernah lupa kepada perjuangan demi rakyat. Kita tahu kita jadi kerajaan tahun 2018. Kita jatuhkan Barisan Nasional. Kita jatuhkan kerajaan yang korup kerana kes 1MDB, kerana rakyat bangkit menolak kleptokrasi, menolak rasuah.

“Itu sebabnya kita berjaya tubuhkan kerajaan di Putrajaya dan juga di Melaka pada tahun 2018.

“Kita tak pernah lupa. Kita tak pernah lupa bahawa itu adalah harapan rakyat, nak melihat sebuah kerajaan yang bersih,” katanya.

Dia menyeru pengundi untuk menyokong calon PH pada pilihan raya Sabtu ini, selain menegaskan pilihan raya itu sebagai peluang untuk mempertahankan prinsip yang menjadi pemangkin kejatuhan BN.

Walaupun hujan lebat, kira-kira 300 orang menghadiri ceramah itu yang turut menampilkan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli; Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh; dan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim.